Sunday, January 30, 2011

Setiap Kejadian menimpa Manusia Pasti Ada Sebab Serta Mempunyai Hikmah

Kita selalu mendengar keluh kesah sesetengah orang yang bertanyakan kenapa agaknya suratan kehidupan mereka begitu susah untuk memperoleh kesenangan dan begitu senang pula mendakap kesusahan.

Mereka iri hati dengan keadaan orang lain yang ditakdirkan senang memperoleh kesenangan secara berterusan. Ada manusia yang hidup senang dan kaya raya, ada hidup susah dan melarat, ada dulunya senang tetapi kemudian hidup melarat. Hakikatnya, inilah asam garam dan pancaroba kehidupan yang harus diterima dengan hati terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah kita membuat analisis dan muhasabah. Berfikir secara waras bahawa ketentuan Allah swt mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran. Cuba nilai mengapa sesetengah manusia diberikan ujian terlalu hebat oleh Allah swt? Mengapa sesetengah yang lain diberi rahmat dan rezeki yang tidak putus-putus?

Setiap sesuatu dijadikan atau ditakdirkan-Nya itu pasti ada sebab dan mempunyai hikmah. Manusia hanya perlu bersyukur jika diberikan rahmat dan rezeki yang melimpah ruah. Firman Allah swt yang bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu per satu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Nahl ayat 18). Begitu juga sebaliknya, manusia perlu terus-menerus bersabar andai diuji dengan dugaan demi dugaan. Setiap sesuatu ketentuan perlu dihadapi dengan waras, bijak, tenang serta berserah tanpa kompromi atau bersyarat kepada Allah swt.

Tidak perlulah melihat dalam perspektif yang luas, lihat saja diri kita sendiri. Dalam banyak waktu, kita iri hati melihat sahabat yang nampak bahagia sepanjang masa dibanding kita tidak senang atau bahagia seperti mereka.  Ini memang amalan manusia, suka membanding-bandingkan diri dengan orang lain. /cuba lihat rakan lain yang selalu dirundung kesukaran, kesakitan, kepayahan dan duka? Bandingkan nasib mereka dengan kita. Hanya dengan cara ini kita akan mengucap syukur Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya kita menyedari ketentuan nasib yang lebih baik dan senang berbanding mereka. Hakikatnya manusia sukar untuk merasa puas.

Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah redha, bersyukur dan bertawakal kepadaNya. Giatkan usaha dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan mengurniakan keadaan lebih baik daripada sebelum ini. Allah swt berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan 'Innalillahi Wainna Illaihi Rajiun', maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat pentunjuk." (Surah al-Baqarah ayat 155-157).

Akan tiba masanya, kalau tidak di dunia, insyaAllah di akhirat kelak, terbit sinar kebahagiaan dan rahmatNya menerangi kehidupan, berkat kesabaran serta keimanan menempuhi ujian demi ujian. Perlu diingat, sebanyak mana harta kemewahan dan kesenangan dianugerah Allah hendaklah disyukuri. Perlu juga diyakini segala nikmat diperoleh dengan izin Allah swt, dan dengan kehendak Allah juga, boleh hilang dalam sekelip mata.

Allah berfirman yang bermaksud "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan 'kami telah beriman' sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah swt mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta." (Surah al-Ankabut ayat 2-3).

Ingatlah, setiap apa yang kita lakukan baik mahupun tidak, akan tetap dihitung dan diberi balasan sewajarnya oleh Allah swt. Firman Allah yang bermaksud "Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya), dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula." (Surah al-Zalzalah ayat 7-8).

Untuk itu, janganlah kita mudah mengeluh apabila berdepan dugaan hingga mudah syaitan menusuk jarum kebencian terhadap takdir Allah swt. Kita menjadi lupa kepada Allah serta lupa kekuasaan dan pembalasan-Nya.  

(sumber dari http://www.bicaraagama.co.cc/2010/12/tawakal-jalan-terbaik-hadapi-dugaan.html)

Thursday, January 27, 2011

Kemuliaan Hari Jumaat

بسم الله الرحمان الرحيم

Hari Jumaat dianggap sebagai hari raya mingguan dalam Islam. Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud: Sebaik-baik hari yang matahari terbit pada hari berkenaan ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam telah dijadikan, pada hari itu juga ia dimasukkan dalam syurga, dan pada hari itu juga ia dikeluarkan darinya.

Nama lain bagi hari berkenaan ialah yaumul `l-mazid (hari pemberian tambahan), kerana pada hari tersebut Allah akan memberi rahmat yang banyak kepada hamba-Nya. Segala permohonan yang diminta akan dikabulkan andainya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan “waktu mustajab.”

Waktu mustajab ini tidak mempunyai ketentuan khusus. Dijadikan demikian bertujuan agar setiap hamba itu sentiasa beribadah dan berdoa kepada Allah dalam usaha mencari waktu berkenaan, yang terangkum pada hari Jumaat tadi.

Mengenai waktu mustajab ini Baginda s.a.w. ada bersabda: Malaikat Jibrail r.a., telah datang kepadaku, sedangkan di tapak tangannya ada satu cermin putih. Ia berkata: Ini adalah hari Jumaat, yang telah disediakan untukmu oleh Tuhanmu, untuk menjadi satu hari raya bagimu dan umatmu selepas kau. Di tengah-tengah cermin ini ada satu titik. Aku (Muhammad) bertanya: Titik apakah ini? Ia menjawab: Ia adalah satu saat daripada dua puluh empat jam, barang siapa berdoa kepada Allah taala pada saat itu, nescaya Allah s.w.t. memperkenankan permohonannya. Ia (Jumaat) adalah penghulu semua hari.

Mengenai kemustajaban doa orang yang memohon, yang menepati waktu mustajab ini, Baginda s.a.w. ada bersabda seperti yang tersebut dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah: Pada hari Jumaat itu ada satu saat yang apabila bertepatan dengan seorang Islam ketika ia sedang sembahyang, memohon sesuatu kepada Allah s.w.t., nescaya Allah s.w.t. akan memperkenankannya. Sambil ia mengisyaratkan dengan tangannya, menunjukkan sedikitnya waktu yang dimaksudkan itu.

Biarpun telah dijelaskan tentang tidak adanya ketetapan masa khusus bagi waktu mustajab menurut kebanyakan ulama, namun terdapat pendapat ulama yang berbeza mengenainya.

Dalam sebuah hadis daripada Abi burdah bin Abi al-Amusa al-Asy’ari r.a. beliau telah berkata bahawa Abdullah bin Umar r.a. pernah mendengar Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa waktu mustajab berkenaan ialah antara duduknya iman di atas mimbar sehinggalah sembahyang sempurna dilakukan.

Terdapat hadis lain menyatakan bahawa Baginda s.a.w. ada menjelaskan bahawa waktu tersebut ialah selepas waktu asar pada hari berkenaan. Barang siapa berdoa dan menepati waktu tersebut, maka Allah akan memperkenankan permohonan berkenaan.

Dalam sebuah hadis daripada Abi Salamah bin Abdul Rahman, beliau berkata, ada sekumpulan sahabat Rasulullah s.a.w. duduk berkumpul, lalu mereka membincangkan waktu mustajab yang terdapat pada hari Jumaat. Mereka kemudian pergi setelah menetapkan bahawa saat itu ialah pada akhir waktu hari Jumaat.

Jelasnya, penghulu segala hari dalam seminggu ialah hari Jumaat. Sebagai seorang hamba Allah yang ingin bertakarub, menghampirkan diri kepada Allah, dan melakukan sesuatu yang terbaik, seseorang itu perlu mengambil peluang dengan kehadiran hari yang mempunyai banyak fadilat, yang didatangkan sekali dalam seminggu dengan beribadah agar kehadiran manusia di muka bumi ini bertepatan dengan firman Allah (az-Zariyat:56), iaitu untuk beribadah kepadanya.

Setiap hari Jumaat, Allah s.w.t. mengutuskan malaikat ke bumi, mencatat nama mereka yang ke masjid. Malaikat-malaikat akan ke langit menyembahkan apa yang dicatatnya. Allah s.w.t. mengampunkan dosa-dosa mereka yang datang ke masjid.

Pada hari Jumaat, Allah taala mengutus malaikat ke muka bumi. Di tangan mereka kalam-kalam emas, juga kertas-kertas daripada perak, berdiri di pintu-pintu masjid, mencatat nama mereka yang masuk masjid, dan mendirikan sembahyang Jumaat. Apabila telah sempurna sembahyang, mereka kembali ke langit lalu berkata: Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat. Allah berfirman: Wahai malaikatKu, demi kemuliaan dan kebesaranKu, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka tidak berdosa sedikitpun.

Kebesaran hari Jumaat bukan hanya dimaklumi oleh manusia atau malaikat, tetapi semua makhluk Allah, termasuk kejadian lain seperti bumi, langit, angin dan lain-lain lagi. Kesemuanya memohon belas kasihan kepada Allah pada hari berkenaan.


Penghulu segala hari ialah hari Jumaat. Itulah hari yang teragung di sisi Allah taala, dan ia adalah lebih besar daripada hari raya fitrah dan korban. Pada hari itu terjadi lima peristiwa: Allah ciptakan Adam a.s. Allah turunkan Nabi Adam a.s. ke bumi. Pada hari tesebut Allah mematikan Nabi Adam, dan pada hari itu juga ada satu saat yang tidak ada seorang hambapun yang memohon sesuatu, kecuali Allah akan perkenankan permohonannya, selagi ia tidak meminta sesuatu yang haram. Pada hari itu juga terjadinya hari kiamat. Tidak ada satu malaikat pun, sekalipun yang amat dekat kedudukannya di sisi Allah, langit, bumi, angin, gunung juga lautan, melainkan kesemuanya memohon belas kasihan pada hari tersebut.

Wednesday, January 26, 2011

Mencintai Allah dan Rasul-Nya

DARI Anas bin Malik r.a. katanya: “Ketika aku dan Rasulullah s.a.w pada suatu ketika keluar dari masjid, tiba-tiba kami ditemui oleh seorang lelaki di pintu masjid. Lalu dia (lelaki itu) bertanya : Ya Rasulullah! Bilakah terjadinya hari kiamat?”


Jawab Rasulullah s.a.w: “Apakah yang telah engkau persiapkan untuk itu (hari kiamat)?“


Lelaki itu kelihatan menunduk (kepalanya) dan kemudian dia menjawab: “Tidak banyak (persiapan) yang telah aku siapkan, baik yang berupa solat, puasa dan sedekah (zakat). Tetapi aku sungguh-sungguh mencintai Allah dan Rasul-Nya.”


Maka sabda Nabi s.a.w: “Engkau akan sentiasa bersama-sama (dengan) kecintaanmu (Allah dan Rasul-Nya) itu kelak.”


-(Hadis bilangan 2269 riwayat Muslim)

Tuesday, January 25, 2011

Wanita Yang Cantik Akan Menjadi Lebih Cantik Dengan Sifat Iffah Dan Malu

"Hatiku membatu dan otakku buntu,
harapanku hanya kemaafan dari anda..."


Rasulullah s.a.w bersabda "Sesiapa berjalan dengan pakaian yang menyeret, Allah tidak akan melihat kepadanya pada hari kiamat." Sebaik sahaja Ummu Salamah r.a, salah seorang isteri Rasulullah s.a.w mendengar hadis tersebut diucapkan oleh Rasulullah, ia bertanya "Bagaimana para wanita memperlakukan pakaian panjang mereka?" Beliau menjawab "Naikkan satu jengkal." Ia berkata lagi "Bagaimana jika nampak mata kakinya?" Rasulullah s.a.w menjawab "Naikkan satu hasta (mata kakinya tetap tertutup) dan jangan melebihkannya."


Wahai Ummul Mukminin! Allah mempunyai ukuran, wahai Ummu Salamah! Wanita-wanita  muslimah bukan orang yang memanjangkan pakaian dan bukan orang-orang yang sombong. Wanita-wanita muslimah itu pemalu, menjaga maruah, suci dan mulia. Tidak patut tumit mereka kelihatan dan pakaiannya mempunyai bahagian bawah yang panjang mengheret di atas permukaan tanah, hingga para lelaki tidak dapat melihatnya.


Sedangkan kebanyakan wanita sekarang, mereka menaikkan pakaian mereka setinggi mungkin kerana takut terkena air atau lumpur. Bahkan mereka akan menanggalkannya hanya kerana ingin mengikuti model dan wanita-wanita murahan. Mereka mempunyai seribu satu alasan untuk berpakaian hampir telanjang. Kaum lelakinya tidak mempunyai sifat kelakian kecuali hanya nama sahaja. Mereka berjalan di samping para wanita dan tidak ada rasa malu.


Hidup yang baik adalah dengan malu. Kayu tetap kayu sekalipun kulitnya mengelupas. Demi Allah, tidak ada baiknya hidup ini juga di dunia ini bila rasa malu itu telah hilang.


Pedoman Hidup
Keselesaan tubuh kerana sedikit makan. Kedamaian jiwa kerana sedikit dosa. Ketenangan hati kerana sedikit angan-angan. Keterpeliharaan lisan kerana sedikit bercakap.
Orang yang sangat sabar akan mendapat yang terbaik...InsyaAllah!

Sunday, January 23, 2011

Biodata Rasulullah S.A.W

Biodata Baginda


Nama: Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim


Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai tahun gajah, sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).


Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.


Nama bapa: Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim


Nama ibu: Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf


Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah).


Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)


Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa'diah (lebih dikenali Halimah As-Sa'diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah).




Usia 5 tahun
Peristiwa pembelahan dada Baginda yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalamnya.


Usia 6 tahun
Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa' (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah). Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah s.a.w) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.


Usia 8 tahun
Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia. Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.


Usia 9 tahun (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun)
Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan. Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendeta Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.


Usia 20 tahun
Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab 'Sirah', jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad s.a.w ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah saja.


Baginda pernah menyaksikan perjanjian Al-Fudhul iaitu perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.


Usia 25 tahun
Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah. Perjalanan ke Syam ditemani oleh lelaki suruhan Khadijah.


Baginda s.a.w bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu. Mas kahwin baginda kepada Khadijah ialah sebanyak 500 dirham.


Usia 35 tahun
Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Kaabah. Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah. Rasulullah s.a.w diberi kemuliaan untuk meletakkan 'Hajarul-Aswad' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.


Usia 40 tahun
Menerima wahyu di gua Hira sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.


Usia 53 tahun
Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq. Sampai di Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/24 September 622M.


Usia 63 tahun
Kewafatan Rasulullah s.a.w di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.


Isteri-isteri Rasulullah s.a.w
~ Khadijah binti Khuwailid
~ Saudah binti Zam'ah
~ Aisyah Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)
~ Hafsah binti Umar (anak Saidina Umar bin Al-Khattab)
~ Ummi Habibah binti Abu Sufyan
~ Hindun binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah)
~ Zainab binti Jahsy
~ Maimunah binti Harith
~ Safiyah binti Huyai bin Akhtab
~ Zainab binti Khuzaimah (digelar Ummu Al-Masakin)


Anak-anak Rasulullah s.a.w
1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra


Anak Tiri Rasulullah s.a.w 
Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah s.a.w, Khadijah adalah seorang janda).


Saudara Sesusu Rasulullah s.a.w


Ibu Susuan
1. Thuwaibah
2. Halimah Al-Saidiyyah


Saudara Susuan
1. Hamzah
2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad
3. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
4. Abdullah bin Harith bin Abdul Uzza
5. Syaima binti Harith bin Abdul Uzza
6. Aisyah binti Harith bin Abdul Uzza


Bapa dan Ibu Saudara Rasulullah s.a.w (anak-anak kepada Abdul Muttalib)
1. Al-Harith
2. Muqawwam
3. Zubair
4. Hamzah*
5. Al-'Abbas*
6. Abu Talib
7. Abu Lahab (nama asalnya Abdul 'Uzza)
8. Abdul Ka'bah
9. Hijil
10. Dhirar
11. Umaimah
12. Al-Bidha (Ummu Hakim)
13. Atiqah**
14. Arwa**
15. Umaimah
16. Barrah
17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-'Awwam)*
*   Sempat masuk Islam
** Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.




Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga." (H.R Al-Sajary daripada Anas)

6 Perkara Allah SWT Sembunyikan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيْمِ
Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.


Cuba kita renungkan beberapa pertanyaan berikut. Pertama, pernahkah kita merasa berat atau malas ketika hendak melaksanakan solat? Mungkin jawapannya ialah "Pernah". Kedua, pernahkah kita meninggalkan solat fardhu yang diwajibkan Allah s.w.t kepada seluruh umat Islam yang telah baligh? Jawapannya mungkin "Pernah", atau bahkan mungkin "Sering". Dan yang ketiga ialah pernahkah kita memikirkan apa yang telah Allah s.w.t siapkan sebagai imbalan atas ibadah solat kita? Mungkin jawapannya ialah "Jarang", atau bahkan mungkin "Tidak pernah".


Sebenarnya, solat itu bukanlah perkara yang berat untuk dikerjakan. Untuk mengerjakan solat, seseorang tidak harus membanting tulang atau memeras keringat terlebih dahulu. Mengerjakan solat juga tidak harus memerlukan waktu yang panjang. Bahawasannya mengerjakan solat itu bukanlah pekerjaan yang akan melelahkan atau mengurangkan sebahagian atau seluruh kudrat kita. Sesungguhnya dengan solat inilah, jiwa kita yang telah letih disebabkan seharian bekerja dan beristirehat dan mengumpulkan kudratnya kembali. Dengan solat, fikiran yang kusut akan kembali segar.


Aneh rasanya, jika kita telah mengetahui bahawa solat ialah salah satu ibadah wajib yang diperintahkan oleh Allah s.w.t namun kita berani meninggalkannya. Seandainya semua manusia itu mengerti bahawa perintah solat adalah perintah yang akan memberikannya ganjaran yang tidak terkira besarnya, nescaya mereka akan menyesal kerana telah meremehkan perintah solat ini.


Allah s.w.t selesai menciptakan Jibrail a.s dengan bentuk yang cantik dan Allah s.w.t menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang, sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124,000 sayap). Setelah itu Jibrail a.s memandang dirinya  sendiri dan berkata: "Wahai Tuhanku, adakah Engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?" Lalu Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Tidak" kemudian Jibrail a.s. berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah s.w.t dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun. Setelah selesai Jibrail a.s solat, maka Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah-Ku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepada-Ku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datangnya seorang nabi yang mulia dan yang paling aku cintai, namanya Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kekurangan, fikiran mereka melayang dan dosa mereka pun besar. Maka demi kemuliaan-Ku dan ketinggian-Ku, sesungguhnya soolat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat itu di atas perintah-Ku, sedangkan kamu mengerjakan solat itu bukan di atas perintah-Ku."


Kemudian Jibrail a.s berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang akan Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?" Lalu Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal."


Kemudian Jibrail a.s meminta izin kepada Allah s.w.t untuk melihat syurga Ma'waa. Setelah Jibrail a.s mendapat keizinan, maka pergilah Jibrail a.s dengan mengembangkan sayapnya dan terbang. Setiap kali dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat Jibrail a.s selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon di situ dan dia sujud kepada Allah s.w.t. Lalu ia berkata di dalam sujudnya: "Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?" Kemudian Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan...."


Marilah sama-sama kita fikirkan dan berusaha mengerjakan suruhan-Nya. Sesungguhnya Allah s.w.t telah menyembunyikan enam perkara iaitu:


1. Allah s.w.t telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.


2. Allah s.w.t telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.


3. Allah s.w.t telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.


4. Allah s.w.t telah menyembunyikan Lailatur Qadar di dalam bulan Ramadhan.


5. Allah s.w.t telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).


6. Allah s.w.t telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.

Saturday, January 22, 2011

Disebalik Nama Siti Zulaikha

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيْمِ
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sesungguhnya segala puji dan puja adalah milik Allah Azza wa Jalla. Hanya kepada-Nya kita tujukan setiap sanjungan dan kesyukuran dan hanya kepada-Nya juga kita bertaubat dan memohon keampunan. Kita berlindung kepada-Nya, oleh itu kita tidak akan dapat disesatkan oleh siapa pun, sedangkan orang yang disesatkan-Nya tidak akan ada yang boleh menunjukinya ke jalan yang lurus. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w yang membawa ajaran agama yang benar yang mampu memberi keberanian dan melenyapkan ketakutan tidak berasas.

Alhamdulillah, syukur pada Allah s.w.t , atas izin-Nya saya telah memiliki sebuah blog yang sangat berharga buat diri saya. Siti Zulaikha...itulah nama blog saya atas pemberian seorang teman. Tambahan pula saya sangat meminati membaca kisah-kisah wanita-wanita solehah di zaman Nabi salah satunya Kisah cinta Siti Zulaikha terhadap Nabi Yusuf. Sebuah cinta yang agung tidak lekang dek panas, tidak hilang ditelan zaman. Dipetik dari blog seorang sahabat menceritakan, setelah hampir 12 tahun Nabi Yusuf dipenjarakan, beliau akhirnya diangkat menjadi raja kerana mukjizatnya yang boleh menafsirkan mimpi. Satu ketika, sewaktu Nabi Yusuf berjalan di padang pasir, beliau terpandang seorang perempuan yang kelihatan tidak siuman sedang menyebut-nyebut namanya.

"Engkaukah Zulaikha?" kata Nabi Yusuf kehairanan. Zulaikha terkejut lalu menangis kerana mengenangkan dosanya kepada Nabi Yusuf. Atas kehendak Allah yang kasih kepada makhluk-Nya, Zulaikha dipulihkan. Wajahnya kembali muda dan bertambah cantik. Akhirnya Nabi Yusuf berkahwin dengan Zulaikha. Ternyata Zulaikha bukanlah Zulaikha dulu, yang sering merindui Yusuf. Lantaran insaf akan dosa-dosanya dan bagi memperlihatkan kesyukurannya kepada Allah, Zulaikha telah berubah menjadi wanita solehah yang sentiasa beribadah kepada Allah. Sehari-harian dia bermunajat kepada Allah. Masanya hanya untuk Allah, bukan untuk yang lain sekalipun suaminya Yusuf. Nabi Yusuf pun menegurnya supaya kembali kepada peranannya sebagai isteri.

"Wahai Zulaikha, sesungguhnya Allah telah memerintahkan aku mengahwini engkau kerana darinya engkau akan melahirkan dua orang putera dan Allah akan jadikan mereka nabi dari keturunanku."

Dengan rendah hati, Zulaikha berkata, "Wahai Yusuf, kalaulah Allah perintahkan engkau kerana itu dan aku sebagai jalan perantaraannya, dan kalau dengan mengikut kata-katamu itu juga dikira sebagai taat kepada Allah, maka aku akan taat dan patuh padamu."

Hiduplah mereka sebagai suami isteri yang aman bahagia. Begitu hebatnya pengabdian mereka. Di samping cantik tubuh lahir, juga cantik rohaniahnya sehingga meninggalkan sejarah yang indah untuk tatapan zaman.