Saturday, January 22, 2011

Disebalik Nama Siti Zulaikha

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيْمِ
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sesungguhnya segala puji dan puja adalah milik Allah Azza wa Jalla. Hanya kepada-Nya kita tujukan setiap sanjungan dan kesyukuran dan hanya kepada-Nya juga kita bertaubat dan memohon keampunan. Kita berlindung kepada-Nya, oleh itu kita tidak akan dapat disesatkan oleh siapa pun, sedangkan orang yang disesatkan-Nya tidak akan ada yang boleh menunjukinya ke jalan yang lurus. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w yang membawa ajaran agama yang benar yang mampu memberi keberanian dan melenyapkan ketakutan tidak berasas.

Alhamdulillah, syukur pada Allah s.w.t , atas izin-Nya saya telah memiliki sebuah blog yang sangat berharga buat diri saya. Siti Zulaikha...itulah nama blog saya atas pemberian seorang teman. Tambahan pula saya sangat meminati membaca kisah-kisah wanita-wanita solehah di zaman Nabi salah satunya Kisah cinta Siti Zulaikha terhadap Nabi Yusuf. Sebuah cinta yang agung tidak lekang dek panas, tidak hilang ditelan zaman. Dipetik dari blog seorang sahabat menceritakan, setelah hampir 12 tahun Nabi Yusuf dipenjarakan, beliau akhirnya diangkat menjadi raja kerana mukjizatnya yang boleh menafsirkan mimpi. Satu ketika, sewaktu Nabi Yusuf berjalan di padang pasir, beliau terpandang seorang perempuan yang kelihatan tidak siuman sedang menyebut-nyebut namanya.

"Engkaukah Zulaikha?" kata Nabi Yusuf kehairanan. Zulaikha terkejut lalu menangis kerana mengenangkan dosanya kepada Nabi Yusuf. Atas kehendak Allah yang kasih kepada makhluk-Nya, Zulaikha dipulihkan. Wajahnya kembali muda dan bertambah cantik. Akhirnya Nabi Yusuf berkahwin dengan Zulaikha. Ternyata Zulaikha bukanlah Zulaikha dulu, yang sering merindui Yusuf. Lantaran insaf akan dosa-dosanya dan bagi memperlihatkan kesyukurannya kepada Allah, Zulaikha telah berubah menjadi wanita solehah yang sentiasa beribadah kepada Allah. Sehari-harian dia bermunajat kepada Allah. Masanya hanya untuk Allah, bukan untuk yang lain sekalipun suaminya Yusuf. Nabi Yusuf pun menegurnya supaya kembali kepada peranannya sebagai isteri.

"Wahai Zulaikha, sesungguhnya Allah telah memerintahkan aku mengahwini engkau kerana darinya engkau akan melahirkan dua orang putera dan Allah akan jadikan mereka nabi dari keturunanku."

Dengan rendah hati, Zulaikha berkata, "Wahai Yusuf, kalaulah Allah perintahkan engkau kerana itu dan aku sebagai jalan perantaraannya, dan kalau dengan mengikut kata-katamu itu juga dikira sebagai taat kepada Allah, maka aku akan taat dan patuh padamu."

Hiduplah mereka sebagai suami isteri yang aman bahagia. Begitu hebatnya pengabdian mereka. Di samping cantik tubuh lahir, juga cantik rohaniahnya sehingga meninggalkan sejarah yang indah untuk tatapan zaman.

No comments:

Post a Comment