بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيْمِ
Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.
Cuba kita renungkan beberapa pertanyaan berikut. Pertama, pernahkah kita merasa berat atau malas ketika hendak melaksanakan solat? Mungkin jawapannya ialah "Pernah". Kedua, pernahkah kita meninggalkan solat fardhu yang diwajibkan Allah s.w.t kepada seluruh umat Islam yang telah baligh? Jawapannya mungkin "Pernah", atau bahkan mungkin "Sering". Dan yang ketiga ialah pernahkah kita memikirkan apa yang telah Allah s.w.t siapkan sebagai imbalan atas ibadah solat kita? Mungkin jawapannya ialah "Jarang", atau bahkan mungkin "Tidak pernah".
Sebenarnya, solat itu bukanlah perkara yang berat untuk dikerjakan. Untuk mengerjakan solat, seseorang tidak harus membanting tulang atau memeras keringat terlebih dahulu. Mengerjakan solat juga tidak harus memerlukan waktu yang panjang. Bahawasannya mengerjakan solat itu bukanlah pekerjaan yang akan melelahkan atau mengurangkan sebahagian atau seluruh kudrat kita. Sesungguhnya dengan solat inilah, jiwa kita yang telah letih disebabkan seharian bekerja dan beristirehat dan mengumpulkan kudratnya kembali. Dengan solat, fikiran yang kusut akan kembali segar.
Aneh rasanya, jika kita telah mengetahui bahawa solat ialah salah satu ibadah wajib yang diperintahkan oleh Allah s.w.t namun kita berani meninggalkannya. Seandainya semua manusia itu mengerti bahawa perintah solat adalah perintah yang akan memberikannya ganjaran yang tidak terkira besarnya, nescaya mereka akan menyesal kerana telah meremehkan perintah solat ini.
Allah s.w.t selesai menciptakan Jibrail a.s dengan bentuk yang cantik dan Allah s.w.t menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang, sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124,000 sayap). Setelah itu Jibrail a.s memandang dirinya sendiri dan berkata: "Wahai Tuhanku, adakah Engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?" Lalu Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Tidak" kemudian Jibrail a.s. berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah s.w.t dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun. Setelah selesai Jibrail a.s solat, maka Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah-Ku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepada-Ku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datangnya seorang nabi yang mulia dan yang paling aku cintai, namanya Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kekurangan, fikiran mereka melayang dan dosa mereka pun besar. Maka demi kemuliaan-Ku dan ketinggian-Ku, sesungguhnya soolat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat itu di atas perintah-Ku, sedangkan kamu mengerjakan solat itu bukan di atas perintah-Ku."
Kemudian Jibrail a.s berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang akan Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?" Lalu Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal."
Kemudian Jibrail a.s meminta izin kepada Allah s.w.t untuk melihat syurga Ma'waa. Setelah Jibrail a.s mendapat keizinan, maka pergilah Jibrail a.s dengan mengembangkan sayapnya dan terbang. Setiap kali dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat Jibrail a.s selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon di situ dan dia sujud kepada Allah s.w.t. Lalu ia berkata di dalam sujudnya: "Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?" Kemudian Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan...."
Marilah sama-sama kita fikirkan dan berusaha mengerjakan suruhan-Nya. Sesungguhnya Allah s.w.t telah menyembunyikan enam perkara iaitu:
1. Allah s.w.t telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.
2. Allah s.w.t telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.
3. Allah s.w.t telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
4. Allah s.w.t telah menyembunyikan Lailatur Qadar di dalam bulan Ramadhan.
5. Allah s.w.t telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).
6. Allah s.w.t telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.



No comments:
Post a Comment