Sunday, January 30, 2011

Setiap Kejadian menimpa Manusia Pasti Ada Sebab Serta Mempunyai Hikmah

Kita selalu mendengar keluh kesah sesetengah orang yang bertanyakan kenapa agaknya suratan kehidupan mereka begitu susah untuk memperoleh kesenangan dan begitu senang pula mendakap kesusahan.

Mereka iri hati dengan keadaan orang lain yang ditakdirkan senang memperoleh kesenangan secara berterusan. Ada manusia yang hidup senang dan kaya raya, ada hidup susah dan melarat, ada dulunya senang tetapi kemudian hidup melarat. Hakikatnya, inilah asam garam dan pancaroba kehidupan yang harus diterima dengan hati terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah kita membuat analisis dan muhasabah. Berfikir secara waras bahawa ketentuan Allah swt mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran. Cuba nilai mengapa sesetengah manusia diberikan ujian terlalu hebat oleh Allah swt? Mengapa sesetengah yang lain diberi rahmat dan rezeki yang tidak putus-putus?

Setiap sesuatu dijadikan atau ditakdirkan-Nya itu pasti ada sebab dan mempunyai hikmah. Manusia hanya perlu bersyukur jika diberikan rahmat dan rezeki yang melimpah ruah. Firman Allah swt yang bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu per satu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Nahl ayat 18). Begitu juga sebaliknya, manusia perlu terus-menerus bersabar andai diuji dengan dugaan demi dugaan. Setiap sesuatu ketentuan perlu dihadapi dengan waras, bijak, tenang serta berserah tanpa kompromi atau bersyarat kepada Allah swt.

Tidak perlulah melihat dalam perspektif yang luas, lihat saja diri kita sendiri. Dalam banyak waktu, kita iri hati melihat sahabat yang nampak bahagia sepanjang masa dibanding kita tidak senang atau bahagia seperti mereka.  Ini memang amalan manusia, suka membanding-bandingkan diri dengan orang lain. /cuba lihat rakan lain yang selalu dirundung kesukaran, kesakitan, kepayahan dan duka? Bandingkan nasib mereka dengan kita. Hanya dengan cara ini kita akan mengucap syukur Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya kita menyedari ketentuan nasib yang lebih baik dan senang berbanding mereka. Hakikatnya manusia sukar untuk merasa puas.

Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah redha, bersyukur dan bertawakal kepadaNya. Giatkan usaha dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan mengurniakan keadaan lebih baik daripada sebelum ini. Allah swt berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan 'Innalillahi Wainna Illaihi Rajiun', maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat pentunjuk." (Surah al-Baqarah ayat 155-157).

Akan tiba masanya, kalau tidak di dunia, insyaAllah di akhirat kelak, terbit sinar kebahagiaan dan rahmatNya menerangi kehidupan, berkat kesabaran serta keimanan menempuhi ujian demi ujian. Perlu diingat, sebanyak mana harta kemewahan dan kesenangan dianugerah Allah hendaklah disyukuri. Perlu juga diyakini segala nikmat diperoleh dengan izin Allah swt, dan dengan kehendak Allah juga, boleh hilang dalam sekelip mata.

Allah berfirman yang bermaksud "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan 'kami telah beriman' sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah swt mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta." (Surah al-Ankabut ayat 2-3).

Ingatlah, setiap apa yang kita lakukan baik mahupun tidak, akan tetap dihitung dan diberi balasan sewajarnya oleh Allah swt. Firman Allah yang bermaksud "Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya), dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula." (Surah al-Zalzalah ayat 7-8).

Untuk itu, janganlah kita mudah mengeluh apabila berdepan dugaan hingga mudah syaitan menusuk jarum kebencian terhadap takdir Allah swt. Kita menjadi lupa kepada Allah serta lupa kekuasaan dan pembalasan-Nya.  

(sumber dari http://www.bicaraagama.co.cc/2010/12/tawakal-jalan-terbaik-hadapi-dugaan.html)

Thursday, January 27, 2011

Kemuliaan Hari Jumaat

بسم الله الرحمان الرحيم

Hari Jumaat dianggap sebagai hari raya mingguan dalam Islam. Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud: Sebaik-baik hari yang matahari terbit pada hari berkenaan ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam telah dijadikan, pada hari itu juga ia dimasukkan dalam syurga, dan pada hari itu juga ia dikeluarkan darinya.

Nama lain bagi hari berkenaan ialah yaumul `l-mazid (hari pemberian tambahan), kerana pada hari tersebut Allah akan memberi rahmat yang banyak kepada hamba-Nya. Segala permohonan yang diminta akan dikabulkan andainya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan “waktu mustajab.”

Waktu mustajab ini tidak mempunyai ketentuan khusus. Dijadikan demikian bertujuan agar setiap hamba itu sentiasa beribadah dan berdoa kepada Allah dalam usaha mencari waktu berkenaan, yang terangkum pada hari Jumaat tadi.

Mengenai waktu mustajab ini Baginda s.a.w. ada bersabda: Malaikat Jibrail r.a., telah datang kepadaku, sedangkan di tapak tangannya ada satu cermin putih. Ia berkata: Ini adalah hari Jumaat, yang telah disediakan untukmu oleh Tuhanmu, untuk menjadi satu hari raya bagimu dan umatmu selepas kau. Di tengah-tengah cermin ini ada satu titik. Aku (Muhammad) bertanya: Titik apakah ini? Ia menjawab: Ia adalah satu saat daripada dua puluh empat jam, barang siapa berdoa kepada Allah taala pada saat itu, nescaya Allah s.w.t. memperkenankan permohonannya. Ia (Jumaat) adalah penghulu semua hari.

Mengenai kemustajaban doa orang yang memohon, yang menepati waktu mustajab ini, Baginda s.a.w. ada bersabda seperti yang tersebut dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah: Pada hari Jumaat itu ada satu saat yang apabila bertepatan dengan seorang Islam ketika ia sedang sembahyang, memohon sesuatu kepada Allah s.w.t., nescaya Allah s.w.t. akan memperkenankannya. Sambil ia mengisyaratkan dengan tangannya, menunjukkan sedikitnya waktu yang dimaksudkan itu.

Biarpun telah dijelaskan tentang tidak adanya ketetapan masa khusus bagi waktu mustajab menurut kebanyakan ulama, namun terdapat pendapat ulama yang berbeza mengenainya.

Dalam sebuah hadis daripada Abi burdah bin Abi al-Amusa al-Asy’ari r.a. beliau telah berkata bahawa Abdullah bin Umar r.a. pernah mendengar Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa waktu mustajab berkenaan ialah antara duduknya iman di atas mimbar sehinggalah sembahyang sempurna dilakukan.

Terdapat hadis lain menyatakan bahawa Baginda s.a.w. ada menjelaskan bahawa waktu tersebut ialah selepas waktu asar pada hari berkenaan. Barang siapa berdoa dan menepati waktu tersebut, maka Allah akan memperkenankan permohonan berkenaan.

Dalam sebuah hadis daripada Abi Salamah bin Abdul Rahman, beliau berkata, ada sekumpulan sahabat Rasulullah s.a.w. duduk berkumpul, lalu mereka membincangkan waktu mustajab yang terdapat pada hari Jumaat. Mereka kemudian pergi setelah menetapkan bahawa saat itu ialah pada akhir waktu hari Jumaat.

Jelasnya, penghulu segala hari dalam seminggu ialah hari Jumaat. Sebagai seorang hamba Allah yang ingin bertakarub, menghampirkan diri kepada Allah, dan melakukan sesuatu yang terbaik, seseorang itu perlu mengambil peluang dengan kehadiran hari yang mempunyai banyak fadilat, yang didatangkan sekali dalam seminggu dengan beribadah agar kehadiran manusia di muka bumi ini bertepatan dengan firman Allah (az-Zariyat:56), iaitu untuk beribadah kepadanya.

Setiap hari Jumaat, Allah s.w.t. mengutuskan malaikat ke bumi, mencatat nama mereka yang ke masjid. Malaikat-malaikat akan ke langit menyembahkan apa yang dicatatnya. Allah s.w.t. mengampunkan dosa-dosa mereka yang datang ke masjid.

Pada hari Jumaat, Allah taala mengutus malaikat ke muka bumi. Di tangan mereka kalam-kalam emas, juga kertas-kertas daripada perak, berdiri di pintu-pintu masjid, mencatat nama mereka yang masuk masjid, dan mendirikan sembahyang Jumaat. Apabila telah sempurna sembahyang, mereka kembali ke langit lalu berkata: Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat. Allah berfirman: Wahai malaikatKu, demi kemuliaan dan kebesaranKu, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka tidak berdosa sedikitpun.

Kebesaran hari Jumaat bukan hanya dimaklumi oleh manusia atau malaikat, tetapi semua makhluk Allah, termasuk kejadian lain seperti bumi, langit, angin dan lain-lain lagi. Kesemuanya memohon belas kasihan kepada Allah pada hari berkenaan.


Penghulu segala hari ialah hari Jumaat. Itulah hari yang teragung di sisi Allah taala, dan ia adalah lebih besar daripada hari raya fitrah dan korban. Pada hari itu terjadi lima peristiwa: Allah ciptakan Adam a.s. Allah turunkan Nabi Adam a.s. ke bumi. Pada hari tesebut Allah mematikan Nabi Adam, dan pada hari itu juga ada satu saat yang tidak ada seorang hambapun yang memohon sesuatu, kecuali Allah akan perkenankan permohonannya, selagi ia tidak meminta sesuatu yang haram. Pada hari itu juga terjadinya hari kiamat. Tidak ada satu malaikat pun, sekalipun yang amat dekat kedudukannya di sisi Allah, langit, bumi, angin, gunung juga lautan, melainkan kesemuanya memohon belas kasihan pada hari tersebut.

Wednesday, January 26, 2011

Mencintai Allah dan Rasul-Nya

DARI Anas bin Malik r.a. katanya: “Ketika aku dan Rasulullah s.a.w pada suatu ketika keluar dari masjid, tiba-tiba kami ditemui oleh seorang lelaki di pintu masjid. Lalu dia (lelaki itu) bertanya : Ya Rasulullah! Bilakah terjadinya hari kiamat?”


Jawab Rasulullah s.a.w: “Apakah yang telah engkau persiapkan untuk itu (hari kiamat)?“


Lelaki itu kelihatan menunduk (kepalanya) dan kemudian dia menjawab: “Tidak banyak (persiapan) yang telah aku siapkan, baik yang berupa solat, puasa dan sedekah (zakat). Tetapi aku sungguh-sungguh mencintai Allah dan Rasul-Nya.”


Maka sabda Nabi s.a.w: “Engkau akan sentiasa bersama-sama (dengan) kecintaanmu (Allah dan Rasul-Nya) itu kelak.”


-(Hadis bilangan 2269 riwayat Muslim)

Tuesday, January 25, 2011

Wanita Yang Cantik Akan Menjadi Lebih Cantik Dengan Sifat Iffah Dan Malu

"Hatiku membatu dan otakku buntu,
harapanku hanya kemaafan dari anda..."


Rasulullah s.a.w bersabda "Sesiapa berjalan dengan pakaian yang menyeret, Allah tidak akan melihat kepadanya pada hari kiamat." Sebaik sahaja Ummu Salamah r.a, salah seorang isteri Rasulullah s.a.w mendengar hadis tersebut diucapkan oleh Rasulullah, ia bertanya "Bagaimana para wanita memperlakukan pakaian panjang mereka?" Beliau menjawab "Naikkan satu jengkal." Ia berkata lagi "Bagaimana jika nampak mata kakinya?" Rasulullah s.a.w menjawab "Naikkan satu hasta (mata kakinya tetap tertutup) dan jangan melebihkannya."


Wahai Ummul Mukminin! Allah mempunyai ukuran, wahai Ummu Salamah! Wanita-wanita  muslimah bukan orang yang memanjangkan pakaian dan bukan orang-orang yang sombong. Wanita-wanita muslimah itu pemalu, menjaga maruah, suci dan mulia. Tidak patut tumit mereka kelihatan dan pakaiannya mempunyai bahagian bawah yang panjang mengheret di atas permukaan tanah, hingga para lelaki tidak dapat melihatnya.


Sedangkan kebanyakan wanita sekarang, mereka menaikkan pakaian mereka setinggi mungkin kerana takut terkena air atau lumpur. Bahkan mereka akan menanggalkannya hanya kerana ingin mengikuti model dan wanita-wanita murahan. Mereka mempunyai seribu satu alasan untuk berpakaian hampir telanjang. Kaum lelakinya tidak mempunyai sifat kelakian kecuali hanya nama sahaja. Mereka berjalan di samping para wanita dan tidak ada rasa malu.


Hidup yang baik adalah dengan malu. Kayu tetap kayu sekalipun kulitnya mengelupas. Demi Allah, tidak ada baiknya hidup ini juga di dunia ini bila rasa malu itu telah hilang.


Pedoman Hidup
Keselesaan tubuh kerana sedikit makan. Kedamaian jiwa kerana sedikit dosa. Ketenangan hati kerana sedikit angan-angan. Keterpeliharaan lisan kerana sedikit bercakap.
Orang yang sangat sabar akan mendapat yang terbaik...InsyaAllah!

Sunday, January 23, 2011

Biodata Rasulullah S.A.W

Biodata Baginda


Nama: Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim


Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai tahun gajah, sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).


Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.


Nama bapa: Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim


Nama ibu: Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf


Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah).


Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)


Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa'diah (lebih dikenali Halimah As-Sa'diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah).




Usia 5 tahun
Peristiwa pembelahan dada Baginda yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalamnya.


Usia 6 tahun
Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa' (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah). Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah s.a.w) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.


Usia 8 tahun
Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia. Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.


Usia 9 tahun (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun)
Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan. Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendeta Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.


Usia 20 tahun
Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab 'Sirah', jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad s.a.w ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah saja.


Baginda pernah menyaksikan perjanjian Al-Fudhul iaitu perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.


Usia 25 tahun
Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah. Perjalanan ke Syam ditemani oleh lelaki suruhan Khadijah.


Baginda s.a.w bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu. Mas kahwin baginda kepada Khadijah ialah sebanyak 500 dirham.


Usia 35 tahun
Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Kaabah. Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah. Rasulullah s.a.w diberi kemuliaan untuk meletakkan 'Hajarul-Aswad' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.


Usia 40 tahun
Menerima wahyu di gua Hira sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.


Usia 53 tahun
Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq. Sampai di Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/24 September 622M.


Usia 63 tahun
Kewafatan Rasulullah s.a.w di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.


Isteri-isteri Rasulullah s.a.w
~ Khadijah binti Khuwailid
~ Saudah binti Zam'ah
~ Aisyah Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)
~ Hafsah binti Umar (anak Saidina Umar bin Al-Khattab)
~ Ummi Habibah binti Abu Sufyan
~ Hindun binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah)
~ Zainab binti Jahsy
~ Maimunah binti Harith
~ Safiyah binti Huyai bin Akhtab
~ Zainab binti Khuzaimah (digelar Ummu Al-Masakin)


Anak-anak Rasulullah s.a.w
1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra


Anak Tiri Rasulullah s.a.w 
Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah s.a.w, Khadijah adalah seorang janda).


Saudara Sesusu Rasulullah s.a.w


Ibu Susuan
1. Thuwaibah
2. Halimah Al-Saidiyyah


Saudara Susuan
1. Hamzah
2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad
3. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
4. Abdullah bin Harith bin Abdul Uzza
5. Syaima binti Harith bin Abdul Uzza
6. Aisyah binti Harith bin Abdul Uzza


Bapa dan Ibu Saudara Rasulullah s.a.w (anak-anak kepada Abdul Muttalib)
1. Al-Harith
2. Muqawwam
3. Zubair
4. Hamzah*
5. Al-'Abbas*
6. Abu Talib
7. Abu Lahab (nama asalnya Abdul 'Uzza)
8. Abdul Ka'bah
9. Hijil
10. Dhirar
11. Umaimah
12. Al-Bidha (Ummu Hakim)
13. Atiqah**
14. Arwa**
15. Umaimah
16. Barrah
17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-'Awwam)*
*   Sempat masuk Islam
** Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.




Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga." (H.R Al-Sajary daripada Anas)

6 Perkara Allah SWT Sembunyikan

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيْمِ
Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.


Cuba kita renungkan beberapa pertanyaan berikut. Pertama, pernahkah kita merasa berat atau malas ketika hendak melaksanakan solat? Mungkin jawapannya ialah "Pernah". Kedua, pernahkah kita meninggalkan solat fardhu yang diwajibkan Allah s.w.t kepada seluruh umat Islam yang telah baligh? Jawapannya mungkin "Pernah", atau bahkan mungkin "Sering". Dan yang ketiga ialah pernahkah kita memikirkan apa yang telah Allah s.w.t siapkan sebagai imbalan atas ibadah solat kita? Mungkin jawapannya ialah "Jarang", atau bahkan mungkin "Tidak pernah".


Sebenarnya, solat itu bukanlah perkara yang berat untuk dikerjakan. Untuk mengerjakan solat, seseorang tidak harus membanting tulang atau memeras keringat terlebih dahulu. Mengerjakan solat juga tidak harus memerlukan waktu yang panjang. Bahawasannya mengerjakan solat itu bukanlah pekerjaan yang akan melelahkan atau mengurangkan sebahagian atau seluruh kudrat kita. Sesungguhnya dengan solat inilah, jiwa kita yang telah letih disebabkan seharian bekerja dan beristirehat dan mengumpulkan kudratnya kembali. Dengan solat, fikiran yang kusut akan kembali segar.


Aneh rasanya, jika kita telah mengetahui bahawa solat ialah salah satu ibadah wajib yang diperintahkan oleh Allah s.w.t namun kita berani meninggalkannya. Seandainya semua manusia itu mengerti bahawa perintah solat adalah perintah yang akan memberikannya ganjaran yang tidak terkira besarnya, nescaya mereka akan menyesal kerana telah meremehkan perintah solat ini.


Allah s.w.t selesai menciptakan Jibrail a.s dengan bentuk yang cantik dan Allah s.w.t menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang, sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124,000 sayap). Setelah itu Jibrail a.s memandang dirinya  sendiri dan berkata: "Wahai Tuhanku, adakah Engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?" Lalu Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Tidak" kemudian Jibrail a.s. berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah s.w.t dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun. Setelah selesai Jibrail a.s solat, maka Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah-Ku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepada-Ku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datangnya seorang nabi yang mulia dan yang paling aku cintai, namanya Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kekurangan, fikiran mereka melayang dan dosa mereka pun besar. Maka demi kemuliaan-Ku dan ketinggian-Ku, sesungguhnya soolat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat itu di atas perintah-Ku, sedangkan kamu mengerjakan solat itu bukan di atas perintah-Ku."


Kemudian Jibrail a.s berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang akan Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?" Lalu Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal."


Kemudian Jibrail a.s meminta izin kepada Allah s.w.t untuk melihat syurga Ma'waa. Setelah Jibrail a.s mendapat keizinan, maka pergilah Jibrail a.s dengan mengembangkan sayapnya dan terbang. Setiap kali dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat Jibrail a.s selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon di situ dan dia sujud kepada Allah s.w.t. Lalu ia berkata di dalam sujudnya: "Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?" Kemudian Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan...."


Marilah sama-sama kita fikirkan dan berusaha mengerjakan suruhan-Nya. Sesungguhnya Allah s.w.t telah menyembunyikan enam perkara iaitu:


1. Allah s.w.t telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.


2. Allah s.w.t telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.


3. Allah s.w.t telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.


4. Allah s.w.t telah menyembunyikan Lailatur Qadar di dalam bulan Ramadhan.


5. Allah s.w.t telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).


6. Allah s.w.t telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.

Saturday, January 22, 2011

Disebalik Nama Siti Zulaikha

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيْمِ
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sesungguhnya segala puji dan puja adalah milik Allah Azza wa Jalla. Hanya kepada-Nya kita tujukan setiap sanjungan dan kesyukuran dan hanya kepada-Nya juga kita bertaubat dan memohon keampunan. Kita berlindung kepada-Nya, oleh itu kita tidak akan dapat disesatkan oleh siapa pun, sedangkan orang yang disesatkan-Nya tidak akan ada yang boleh menunjukinya ke jalan yang lurus. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w yang membawa ajaran agama yang benar yang mampu memberi keberanian dan melenyapkan ketakutan tidak berasas.

Alhamdulillah, syukur pada Allah s.w.t , atas izin-Nya saya telah memiliki sebuah blog yang sangat berharga buat diri saya. Siti Zulaikha...itulah nama blog saya atas pemberian seorang teman. Tambahan pula saya sangat meminati membaca kisah-kisah wanita-wanita solehah di zaman Nabi salah satunya Kisah cinta Siti Zulaikha terhadap Nabi Yusuf. Sebuah cinta yang agung tidak lekang dek panas, tidak hilang ditelan zaman. Dipetik dari blog seorang sahabat menceritakan, setelah hampir 12 tahun Nabi Yusuf dipenjarakan, beliau akhirnya diangkat menjadi raja kerana mukjizatnya yang boleh menafsirkan mimpi. Satu ketika, sewaktu Nabi Yusuf berjalan di padang pasir, beliau terpandang seorang perempuan yang kelihatan tidak siuman sedang menyebut-nyebut namanya.

"Engkaukah Zulaikha?" kata Nabi Yusuf kehairanan. Zulaikha terkejut lalu menangis kerana mengenangkan dosanya kepada Nabi Yusuf. Atas kehendak Allah yang kasih kepada makhluk-Nya, Zulaikha dipulihkan. Wajahnya kembali muda dan bertambah cantik. Akhirnya Nabi Yusuf berkahwin dengan Zulaikha. Ternyata Zulaikha bukanlah Zulaikha dulu, yang sering merindui Yusuf. Lantaran insaf akan dosa-dosanya dan bagi memperlihatkan kesyukurannya kepada Allah, Zulaikha telah berubah menjadi wanita solehah yang sentiasa beribadah kepada Allah. Sehari-harian dia bermunajat kepada Allah. Masanya hanya untuk Allah, bukan untuk yang lain sekalipun suaminya Yusuf. Nabi Yusuf pun menegurnya supaya kembali kepada peranannya sebagai isteri.

"Wahai Zulaikha, sesungguhnya Allah telah memerintahkan aku mengahwini engkau kerana darinya engkau akan melahirkan dua orang putera dan Allah akan jadikan mereka nabi dari keturunanku."

Dengan rendah hati, Zulaikha berkata, "Wahai Yusuf, kalaulah Allah perintahkan engkau kerana itu dan aku sebagai jalan perantaraannya, dan kalau dengan mengikut kata-katamu itu juga dikira sebagai taat kepada Allah, maka aku akan taat dan patuh padamu."

Hiduplah mereka sebagai suami isteri yang aman bahagia. Begitu hebatnya pengabdian mereka. Di samping cantik tubuh lahir, juga cantik rohaniahnya sehingga meninggalkan sejarah yang indah untuk tatapan zaman.

Sentuhan Iman

“Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk MEMBACA kerana membaca itu SUMBER HIKMAH, menyediakan waktu untuk KETAWA kerana ketawa itu MUZIK JIWA, menyediakan waktu untuk BERFIKIR kerana berfikir itu POKOK KEMAJUAN, menyediakan waktu untuk BERAMAL kerana beramal itu PANGKAL KEJAYAAN, menyediakan waktu untuk BERSENDA kerana bersenda itu akan membuat MUDA SELALU dan menyediakan waktu untuk BERIBADAH kerana ibadah itu adalah IBU segala KETENANGAN JIWA…”

Apakah kita masih tak sedar? Insaflah, wahai sahabatku. Sama-sama kita muhasabah diri...


Ketika kamu dilahirkan, kamu diazan tanpa Solat,
Ketika kamu meninggal, kamu disolatkan tanpa azan.
Ketika kamu dilahirkan kamu tidak mengetahui siapa yang mengeluarkan kamu,
Ketika kamu mati kamu tidak tahu siapa yang akan mengusung kamu.
Ketika kamu dilahirkan, kedua ibu bapa dan keluarga kamu bergembira,
Ketika kamu mati, kedua ibu bapa dan keluarga kamu menangis ke atas kamu.
Ketika dalam perut ibu, kamu berada dalam kegelapan dan kesempitan,
Ketika kamu mati, kamu juga berada dalam kegelapan dan kesempitan.
Ketika kamu dilahirkan, kamu dibaluti kain supaya melindungi tubuhmu,
Ketika kamu mati, kamu juga dibaluti dengan kain untuk melindungi tubuhmu......


Dan Tahukah Anda…


Kubur Setiap Hari Menyeru Manusia Sebanyak Lima Kali:
Aku rumah yang terpencil, maka kamu akan senang dengan selalu membaca Al-Quran.
Aku rumah yang gelap, maka teranglah aku dengan selalu solat malam.
Aku rumah penuh dengan tanah dan debu, bawalah amal soleh yang menjadi hamparan.
Aku rumah ular berbisa, maka bawalah amalan Bismillah sebagai penawar.
Aku rumah pertanyaan Munkar dan Nakir, maka banyaklah bacaan "Laa ilaha illallah, Muhammadur Rasulullah" supaya kamu dapat jawapan kepadanya.

DIA Kekasih Allah




DIA Kekasih Allah...
Malu rasanya mengatakan cinta
kepada dia kekasih Allah
kerana dia insan mulia
sedangkan diriku insan biasa


Ku pujuk jua hati dan jiwa
meluahkan rasa cinta membara
didalam pujian ucapan selawat
tanda penghargaan seorang umat


Selagi upaya ku turuti ajarannya
apa terdaya ku amalkan sunnahnya
moga di dunia mendapat berkat
di akhirat sana beroleh syafaat


Kerana peribadinya aku terpesona
kerana budinya aku jatuh cinta
rindu ku padanya tida terkata
nantikanlah daku ditaman Syurga


Sesungguhnya apa yang kudambakan
Adalah cinta Allah Yang Esa
kerana cinta kepada Rasulullah
bererti cinta kepada Allah...

Srikandi Cinta Siti Zulaikha



Berat sungguh malam yang panas itu dirasakan oleh Ra’il, wanita cantik yang biasa dipanggil dengan nama Zulaikha. Ia senantiasa mempercantikkan paras, menghias diri dan memakai wangi-wangian. Kemudian berdiri pagi dan petang di beranda istananya di atas Sungai Nil dalam kegelisahan yang tak jelas penyebabnya.

Angin sepoi bertiup tenang dan halus seakan enggan mengusik ranting-ranting pohon bunga yang mengelilingi beranda istana itu, Zulaikha memandang sungai dan airnya yang tenang dan sesekali wajahnya menoleh ke atas, melihat bintang-bintang yang bertaburan di langit nan tinggi, mengelilingi bulan yang sebahagian sinarnya terhalang oleh awan.

Sesaat kemudian, seorang pelayan menghampiri dengan segelas sari buah dingin untuknya tetapi sang puteri menolak dan malah memerintahkan pelayan itu untuk kembali. Nafasnya semakin menyesakkan, serasa hampir-hampir mencekik lehernya. Dia sendiri tidak tahu apa yang digelisahkannya. Kecantikan? Bukan! Dia wanita tercantik di seluruh Mesir. Anak? Mungkin itu benar sebab sampai saat ini ia belum dikurniakan seorang anak pun.

Sebenarnya ia dapat saja mengambil anak sangat yang disukainya, sebab ia orang terkaya di negeri itu. Tapi naluri keibuannya ternyata menentang niatnya. Dia ingin mengandung dan melahirkan puteranya sendiri sebagaimana wanita-wanita lain. Tapi suratan takdir menghendaki lain, suaminya tidak kuasa mengubah impiannya menjadi kenyataan.

Berkecamuklah semua fikiran di kepalanya. Ia terlena dalam lamunannya, sampai suara halus suaminya tiba-tiba mengejutkan hatinya.

"Rai'il isteriku yang cantik, bergembiralah!" kata suaminya sambil menunjukkan sesuatu.

Zulaikha menoleh kepada suaminya dan betapa terkejut ketika ia lihat suaminya datang bersama seorang anak kecil.

"Siapa namamu?" tanya Zulaikha. Dengan suara yang hampir-hampir tidak terdengar, anak itu menjawab, "Yusuf".

Al-Aziz, suami Zulaikha, kemudian mengikutinya dari belakang serta berkata, "Telah ku beli ia dari kafilah yang didapati disebuah telaga di padang pasir. Berikanlah kepadanya tempat (dan layanan) yang baik, boleh jadi ia bermanfaat bagi kita, atau kita pungut ia sebagai anak."

Isteri al-Aziz tidak mengetahui takdir apa yang bakal terjadi antara dia dan anak itu di hari-hari yang akan datang. Yang jelas ia merasa senang atas kedatangan anak itu dan hilanglah kesedihan yang selama ini menghimpit dadanya. Hari-hari berlalu. Yusuf semakin besar dan menjadi dewasa. Wajahnya tampak semakin tampan. Isteri Aziz tidak mengerti kebahagiaan apa yang meresap di hatinya setiapkali ia memandang Yusuf, dan kesedihan yang menghantuinya ketika Yusuf hilang dari pandangannya.

Setiap kali malam tiba dan Yusuf pergi ke kamar tidurnya, Zulaikha merasa ada sesuatu yang mengusik lubuk jiwanya sehingga kadang kala ia bangun meninggalkan suaminya yang sedang tidur, kemudian pergi ke pintu kamar Yusuf. Zulaikha berdiri di pintu diinginkannya, ataukah ia kembali ke tempatnya sendiri di samping suaminya.

Fikiran seperti itu selalu menganggu hatinya semalaman, sampai cahaya matahari pagi terlihat masuk melalui jendela-jendela kamarnya. Jika sudah demikian, ia kembali ke kamar suaminya.

Setiap kali pandangannya bertemu dengan pandangan Yusuf, ia merasakan keinginan yang kuat untuk selalu berada dekat pemuda itu dan tak ingin rasanya berpisah untuk selama-lamanya. Namun, hati kecilnya berkata bahawa Yusuf tidak memendam perasaan yang sama seperti perasaannya. Pertanyaan yang selalu mengusik kalbunya adalah: Apakah Yusuf mencintainya sebagaimana ia mencintai Yusuf? Apakah Yusuf memendam perasaan seperti yang dipendamnya? Meskipun hati kecilnya berkata bahawa Yusuf tidak menampakkan sikap seperti itu, ia tidak mahu mendengar jawapan itu.

Pada suatu petang, isteri Aziz merasa tidak kuasa lagi hanya berdiri di ambang cinta yang disimpannya kepada Yusuf. Ia kemudian berdiri dimuka cermin, mengagumi kecantikan parasnya sehingga Yusuf menghindar dariku? Tidak boleh tidak, wahai, Yusuf, hari ini aku akan menjumpaimu dengan segala macam pujukan dan rayuan sampai engkau tunduk kepadaku."

Kemudian ia membuka almari dan matanya mengamati pakaian di dalamnya. Dipilihnya salah satu gaunnya yang paling indah berwarna merah dengan gaya yang membangkitkan ghairah lelaki. Manakala gaun itu dikenakan, maka sebahagian auratnya yang seharusnya tersembunyi akan tampak. Itulah yang justeru dikehendakinya. Kemudian ia memakai wangi wangian di sekujur tubuhnya yang menyebabkan seseorang lelaki akan berghairah kerana baunya.

Setelah itu, ia atur rambutnya seindah-indahnya di malam yang sunyi itu. Setelah menyelesaikan dan menyempurnakan dandanannya, Zulaikha mengamati sekelilingnya hingga ia benar-benar yakin bahawa tidak ada seorang pun pelayannya yang masih menunggunya di situ; semuanya sudah lelap di kamar masing-masing di kegelapan malam itu. Ia pun tahu bahawa suaminya sedang memenuhi panggilan seorang hakim Mesir dan sibuk dengan urusan-urusannya, sehingga tidak mungkin ia akan kembali sebelum fajar pagi tiba.

Setelah segalanya beres, pergilah ia menuju kamar Yusuf. Didapatinya pintu kamar itu tertutup dan lampunya sudah dimatikan. Dengan perlahan ia mengetuk, satu kali, dua kali...dan tiga kali. Tak lama kemudian, Yusuf pun bangun menyalakan lampu dan membukakan pintu. Alangkah terkejutnya Yusuf ketika ia melihat isteri al-Aziz sudah berada dihadapannya. Tapi ia tidak berkata apa-apa kecuali hanya diam menunduk.

Tiba-tiba Zulaikha masuk ke dalam, mendekatinya dengan ramah dan memegang tangannya sambil menutup pintu kamar. Zulaikha merasakan kegelisahan, ketakutan dan tak boleh menjawab pandangan kedua mata Yusuf. Ia lalu berpaling ke arah Yusuf sedangkan Yusuf selalu berusaha menjauh darinya.

Isteri al-Aziz kemudian berkata, "Apakah maksud semua ini, hai, Yusuf? Janganlah engkau menjauh dariku, sehingga aku binasa kerana rindu kepadamu."

Yusuf diam tanpa jawapan.

Isteri al-Azhar mendekatinya lagi seraya berkata, "Aduhai, Yusuf, betapa indahnya rambutmu!"

Yusuf menjawab, "Inilah sesuatu yang pertama kali akan berhamburan dari tubuhku setelah aku mati."

"Aduhai, Yusuf, betapa indahnya kedua matamu!" pujuk isteri al-Aziz lagi. 

"Keduanya ini adalah benda yang pertama kali akan lepas dari kepalaku dan akan mengalir di muka bumi!"

Isteri al-Aziz berkata lagi, "Betapa tampannya wajahmu, hai, Yusuf."

"Tanah kelak akan melumatnya," jawab Yusuf.

Kemudian Zulaikha berkata kepadanya, "Telah terbuka tubuhku kerana ketampanan wajahmu."

"Syaitan menolongmu untuk berbuat hal itu!" kata Yusuf.

"Yusuf! Bagaimanapun aku harus mendapatkan apa yang selama ini kudambakan dan kini aku datang kerananya" kata Zulaikha.

Yusuf menjawab "Kemanakah aku akan lari dari murka Allah jika aku menderhakaNya?"

Sedarlah isteri al-Aziz bahawa Yusuf benar-benar tidak mahu memenuhi apa yang ia inginkan. Maka, ia pun lebih mendekat lagi, dan meletakkan badan Yusuf di atas dadanya. Ia berharap Yusuf akan tertarik kepadanya dan mahu memenuhi keinginannnya. Akan tetapi, di luar dugaannya, Yusuf malah menghindar darinya dan segera berlari hendak keluar dari kamar itu.

Isteri al-Aziz tak habis berfikir mengapa Yusuf sedemikian keras mempertahankan kesuciannya di hadapan wanita cantik yang telah siap melayaninya, bahkan lari menjauh darinya. Ia lalu mengejar Yusuf dari belakang untuk memaksanya. Ketika sudah sangat dekat, dpegangnyalah bahagian belakang baju Yusuf dan ditariknya kuat-kuat. Dengan penuh kemarahan, ia melarang Yusuf keluar dari kamar. Akhirnya, koyaklah bahagian belakang baju Yusuf.

Pada saat yang sama, tiba-tiba al-Aziz sudah berada di hadapan mereka berdua, bersama saudara sepupu Zulaikha. Dengan serta merta isteri al-Aziz berkata: "Apakah hukuman bagi orang yang akan berbuat serong kepada isterimu, selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan seksaan yang pedih?" Dengan perkataan itu, Zulaikha bermaksud menyatakan Yusuf telah berbuat yang melampaui batas atas dirinya.

Al-Aziz sangat marah atas terjadinya peristiwa memalukan itu. Kerana tidak menduga hal itu dilakukan oleh Yusuf, seorang anak terbiar yang telah dibelinya, dipeliharanya dan dikasihinya seperti kasih sayang seorang ayah kepada puteranya sendiri. Tiak mungkin hal itu boleh terjadi?

Yusuf sedar bahawa isteri al-Aziz berkata dusta tentang dirinya dan menuduhnya dengan tuduhan palsu. Maka, segeralah Zulaikha berkata kepada al-Aziz "Dia menggodaku untuk menundukkan diriku (kpadanya)." Allah ternyata menghendaki bebasnya Yusuf dari tuduhan wanita itu. Seorang bayi yang masih menyusu, anak salah seorang keluarga Zulaikha yang ketika itu datang ke istana, tiba-tiba berkata, "Jika bajunya koyak di bahagian muka, maka wanita itulah yang benar dan Yusuf termasuk orang-orang dusta. Dan jika bajunya koyak di bahagian belakang maka wanita itulah yang dusta dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar."

Mendengar ini, segeralah al-Aziz menghampiri Yusuf untuk melihat bajunya. Demi didapatinya baju Yusuf koyak di bahagian belakang (kerana tarikan isterinya), mengertilah al-Aziz akan pengkhianatan isterinya dan bersihnya Yusuf dari tuduhan itu. Kemudian ia berkata, "Sungguh, inilah tipu muslihatmu. Sungguh dahsyat tipu muslihatmu!"

Kemudian ia memandang Yusuf seraya berkata "Hai Yusuf, berpaling dari ini!" Maksud perkataan itu adalah agar Yusuf tidak memberitakan aib yang terjadi atas diri isterinya itu, sehingga tidak terdengar oleh orang ramai. Sedangkan kepada isterinya ia berkata "Dan (kamu, hai isteriku) mohon ampunlah atas dosamu itu kerana sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang berbuat salah."

"Celakalah kamu, Yusuf!" kata isteri al-Aziz dengan kemarahan yang memuncak kerana Yusuf menolak kecantikan dan kebesarannya. "Tidak! aku tak akan membiarkanmu, Yusuf. Bagaimanapun akan ku cari jalan lain yang dapat mempedayakanmu hingga kamu memenuhi apa yang kuhendaki..."

Hari-hari pun berlalu dan al-Aziz yang kalah dalam urusan itu berusaha memohon kerelaan isterinya menghadapi kenyataan itu, sementara sang isteri menyanggahnya dengan dalih bahawa suaminya telah menjatuhkan martabat dan kemuliaanya. Zulaikha tahu benar bahawa setiapkali ia menampakkan kebenciannya kepada suaminya, sang suami benar-benar berusaha mendekati dan memujuknya kerana ia sangat mencintainya dan merasa lemah di hadapan kecantikan wajahnya dan ketinggian peribadinya yang sebenarnya bersifat mulia.

Yusuf sendiri akhirnya berdiam sepanjang hari di dalam kamarnya kerana peristiwa aib itu terjadi di situ. Ia tidak keluar dari kamarnya kecuali ada suatu pekerjaan penting yang ditugaskan oleh tuannya, al-Aziz.

Hari-hari yang berat dan keras selalu menghantui isteri al-Aziz. Ia menanti datang suatu peluang untuk kembali melakukan tipu dayanya atas diri Yusuf, sebab apa yang baru terjadi itu justeru menambah rasa cinta dan keinginan untuk berhubungan dengan Yusuf, meskipun secara terang-terang ia telah berdusta atas diri Yusuf untuk menghilangkan keraguan suaminya terhadapnya.

Hari demi hari dirasakan oleh isteri al-Aziz dengan berat dan terasa lambat berjalan. Di kota, beberapa peristiwa yang tak terduga telah terjadi. Wanita-wanita di Mesir, ketika itu tidak berkeinginan bicara lain kecuali tentang peristiwa aib antara isteri al-Aziz dan Yusuf. Yang sungguh menghairankan, bagaimana peristiwa itu dapat tersebar di seluruh kota, padahal semua pihak di istana al-Aziz berusaha merahsiakannya.

Dugaan sementara dialamatkan kepada pelayan laki-laki istana dan sebahagian pelayan wanita yang masih ada hubungan keluarga dengannya. Besar kemungkinan, merekalah yang membocorkan rahsia itu.

Langit ibu kota Mesir penuh dengan gema kisah sekitar kejadian itu. Dalam setiap kelompok wanita, tidak ada masalah lain yang dibicarakan kecuali tentang isteri al-Aziz dan Yusuf, semuanya dicurahkan tanpa segan silu. Akhirnya, sampailah berita yang menyakitkan itu ke telinga isteri al-
Aziz. Dan tentu saja hal itu menimbulkan kemarahannya yang luar biasa.

Akan tetapi, apa hendak dikata, ia tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menerima kenyataan itu dengan hati yang semakin pedih. "Betapa perjalanan hidupku menjadi sepotong roti dalam mulu wanita-wanita kota yang dipenuhi cemuhan dan ejekan" keluhnya dalam hati, "padahal, dihari-hari kelmarin, tak seorangpun dari mereka berani menyebut namaku kecuali dengan segala penghormatan dan kemuliaan."

Kemudian ketenangan mulai meresap di hati isteri al-Aziz, setelah jiwanya tergoncang kerana kemarahan. Mulailah ia berbicara kepada dirinya sendiri "Aku wanita dan mereka pun wanita. Harus mereka teriam hinaan sebagaimana hinaan yang mereka tujukan kepadaku. Jika mereka memperolok-olokku dengan lidahnya, maka sesungguhnya olok-olokku nanti keras atas diri mereka..." Maka, keluarlah dia dari kamarnya menuju beranda istananya yang menghadap Sungai Nil.

Di tepian sungai itu, ia mulai berfikir, sementara angin lembut menerpa pepohonan bunga yang mengelilingi istana, membuat harum udara di sekitarnya. Isteri al-Aziz mulai merenung, fikirannya berputar ke sana kemari mengikuti alunan ombak sungai yang tenang.

Tak lama kemudian, wajahnya tampak sedikit berseri, kemudian mulutnya tersenyum. Telah ditemukan satu cara untuk membereskan masalah itu. Ya, mengapa ia tidak menghentikan cemuhan wanita-wanita itu tentang dirinya dan Yusuf dalam suatu pertemuan terbuka? Mengapa ia tidak memanggil wanita-wanita itu untuk duduk bercakap-cakap seperti biasa ia lakukan sebelum ini, lalu ia perintahkan Yusuf keluar (menampakkan diri di hadapan mereka)? Nanti mereka akan sedar dan mengerti mengapa isteri al-Aziz jatuh hati kepada anak angkatnya.

Kemudian dipanggilnya semua wanita itu ke istana untuk bersukaria. Kepada mereka dipersembahkan berbagai macam buah-buahan dan masing-masing diberi sebilah pisau sebagai alat pemotongnya. Akan dilihat oleh isteri al-Aziz apa yang nanti bakal terjadi ketika Yusuf muncul secara tiba-tiba di tengah-tengah mereka.

Hairanlah kebanyakan wanita bangsawan terhadap panggilan isteri al-Aziz itu. Mereka menyaksikan suasana yang lain dari biasanya. Ruangan istana, ketika itu dihiasi dengan penuh kemegahan. Wanita-wanita yang hadir duduk di kerusi yang indah. Di hadapan mereka masing-masing terdapat sepinggan buah segar dan sebilah pisau pemotongnya.

Semua pandangan hadirin ditujukan kepada barang-barang yang ada dalam ruangan istana itu. Semuanya diam membisu, tak ada yang berani berbicara dengan jelas tentang apa yang tersimpan di dada dan mulailah isteri al-Aziz membuka acara. Pembicaraan hanya berkisar tentang buah dan masalah-masalah pesta ria itu, sama sekali jauh dari masalah peristiwa dirinya dengan Yusuf. Ia berkata bahawa segala yang disediakannya kali ini dimaksudkan sebagai kejutan bagi wanita-wanita itu.

Di antara wanita-wanita yang hadir dalam jamuan itu, ada salah seorang yang menyindir. Dengan cara yang cerdik, ia berkisah kepada hadirin tentang seorang pemudi yang jatuh cinta dan mati dalam kesedihan kerana laki-laki yang meminangnya tewas di medan perang melawan musuh-musuh negerinya. Tetapi isteri al-Aziz dengan lebih cerdik, mengalihkan pembicaraan ke masalah-masalah lain.

Kemudian ia berkata kepada Yusuf, "Keluarlah (tampakkanlah dirimu) kepada mereka."

Maka, keluarlah Yusuf dari tempatnya menuju jamuan wanita-wanita itu. Betapa terkejutnya wanita-wanita itu demi melihat ketampanan Yusuf. Mereka sama tercengang dan kehairanan. Dan tanpa disedari, mereka memotong jari-jari mereka sendiri dengan pisau. Mereka mengira sedang memotong buah, padahal tidak dirasakan darah mengalir dari tangan mereka. Lama-kelamaan mereka baru ingat dan menyedari apa yang telah mereka lakukan, kemudian berkata, "Maha Besar Allah. Ini bukanlah manusia. Ia tiada lain dari malaikat yang mulia."

Ketika itu wajah isteri al-Aziz menahan sedih dan duka. Berubahlah wajah nan cantik itu menjadi marah. Ia berkata seraya menunjuk kepada Yusuf "Itulah orang yang menyebabkan aku di cela kerana (tertarik) kepadanya, dan sesungguhnya aku telah menginginkan dirinya tetapi ia menolak. Dan (sekarang) jika dia tidak mentaati apa yang kuperintahkan, nescaya ia akan dipenjarakan dan dia kan menjadi orang yang hina.

Yusuf mendengar apa yang dikatakan oleh isteri Aziz dengan sikap yang tenang dan tabah, dihadapan wanita-wanita kota. Ia pun mendengar keinginan setiap wanita yang hadir, sebagaimana keinginan isteri al-Aziz terhadapnya. Sambil berlindung kepada Allah, Yusuf berkata, "Tuhanku! Penjara lebih kusukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Allah hindarkan aku dari tipu daya mereka, tentulah aku tertarik kepada mereka. Dan tentulah aku termasuk orang yang jahil." Allah meneguhkan hamba-hamba-Nya yang mukmin serta berlindung dan berpegang dengan kebenaran yang diperintahkan oleh-Nya..." Maka, Tuhan memperkenankan doa Yusuf dan Dia menghindarkan Yusuf dari tipu daya mereka. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar, Yang Maha Mengetahui."

Pulanglah wanita-wanita kota itu dengan tangan mereka berlumuran darah. Mereka semua akhirnya sedar bahawa Zulaikha, isteri al-Aziz, terhalang cintanya kepada Yusuf. Yusuf, kemudian meninggalkan ruagan itu dan peri ke kamarnya. Isteri al-Aziz tampak duduk sambil berfikir. Menanglah ia dengan suatu kemenangan yang dapat menyembuhkan sakit hatinya.

Akan tetapi, setelah ia lebih dalam berfikir, ia sedari bahawa perasaan yang ditanggungnya selama ini dalah suatu sebab yang berat baginya. Ia berbicara dengan dirinya sendiri. "Yusuf telah menghindar dariku dua kali, sekali dikamarnya dan sekali dihadapan wanita-wanita kota. Sesungguhnya wanita-wanita kota itu pun mencintai Yusuf sebagaimana aku tetapi semuanya tidak memperoleh sesuatu darinya. Ancamanku kepadanya tidak ditakutinya. Celakalah kamu meskipun aku mencintaimu."

Pergilah isteri al-Aziz menemui suaminya. Al-Aziz kemudian bertanya tentang jamuan yang diadakannya. Isterinya menjelaskan bahawa jamuan itu hanya menambah keburukan baginya.

"Bagaimana hal itu boleh terjadi?" tanya al-Aziz.

"Jika Yusuf tidak disembunyikan dari seisi istana dan kota, dia akan selalu berbicara tentang apa yang memburukkanku..." jawabnya.

Maka, mendekatlah al-Aziz kepada isterinya seraya berkata "Bagaimana engkau boleh rela dengan apa yang memburukkanmu?

Gementarlah badan wanita itu, dan kemudian berkata "Kalau begitu, masukkanlah Yusuf ke dalam penjara sehingga semua orang akan melupakannya."

Al -Aziz menyetujui usul isterinya itu. Tak lama kemudian, beberapa pengawal istana membawa Yusuf ke penjara. Tatkala Yusuf keluar dari pintu istana, isteri al-Aziz berdiri di belakang jendela kamarnya sambil memandanginya. Ia merasa seolah-olah sebahagian dari hatinya tercabut, meskipun dialah yang mendesak suaminya agar memasukkan Yusuf ke dalam penjara.

Saban hari berlalu dan kesedihan selalu mewarnai wajah isteri al-Aziz, sementara suaminya  hanya boleh melihat hal itu dengan sikap diam dan tidak kuasa berbuat sesuatu. Wanita itu bertanya kepada dirinya sendiri "Sudahkah aku tatkala menyuruh al-Aziz memasukkan Yusuf ke dalam penjara? Ya, kuharamkan diriku melihat Yusuf..." Sekali lagi ia berfikir dalam kegelisahannya "Tetapi, apakah aku bersalah dalam urusan itu?" Ia menyanggah dirinya sendiri untuk lepas dari azab seperti seorang dermawan yang haus tetapi tidak sanggup menjangkau air yang dipikul dibahunya sendiri.

Hari demi hari, bulan demi bulan, dan tahun demi tahun berjalan tanpa sunyi dari cerita isteri al-Aziz dengan Yusuf. Pada suatu hari, datanglah utusan raja, memerintahkannya untuk datang ke istana. Isteri al-Aziz sangat hairan sebab hal itu belum terjadi sebelumnya. Ia bertanya kepada suaminya apa kira-kira yang menyebabkan sang raja memanggilnya ke istana.

Al-Aziz menjawab "Mungkin ada urusan yang berhubungan dengan Yusuf."

Mendengar nama Yusuf disebut lagi, lenyaplah segala dugaan. Tetapi, benarkah raja hanya berkehendak untu berbicara dengannya tentang Yusuf?

Dengan penuh pertanyaan di benaknya, pergilah isteri al-Aziz menuju istana raja. Disana didapatinya wanita-wanita yang telah memotong tangannya beberapa waktu yang lalu, semuanya menghadap Raja Mesir. Sementara itu, sang raja memandangi wajah para wanita itu satu persatu, kemudian mengajukan pertanyaan singkat kepada wanita-wanita itu. "Bagaimana keadaanmu ketika kamu menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadamu)?" Mereka menjawab serentak "Kami tiada mendapati suatu keburukan padanya (YUsuf)."

Tiba-tiba tanpa diminta oleh Raja, isteri al-Aziz berbicara. Ia merasa telah tiba saatnya untuk berbicara terus terang perihal itu, agar hilang semua beban dosa kerana tindakan anianyanya terhadap Yusuf. Di hadapan Raja, wanita-wanita kota, dan seluruh yang hadir di situ, ia menerangkan "Sekarang jelaslah kebenaran itu. Akulah yang menggodanya untuk menundukkan dirinya (kepadaku) dan sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang benar" (Yusuf berkata), "Yang demikian itu agar dia (al-Aziz) mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak berkhianat kepadanya dibelakangnya, dan bahawasannya Allah tidak merelai tipudaya orang-orang yang berkhianat. Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun Maha Penyayang."

Terjadi perbedaan pendapat tentang kehidupan perempuan itu selanjutnya. Sebahagian orang berpendapat bahawa sejak itu isteri al-Aziz hidup bersama kesedihan dan putus asa kerana ingatannya kepada Yusuf. Sebahagian yang lain berpendapat bahawa isteri al-Aziz itu akhirnya pindah ke suatu tempat yang jauh, dan tiada khabar beritanya sama sekali. Yang jelas, kehidupan wanita itu menjadi terganggu kerana cinta kepada Yusuf.

Namun ada yang mengisahkan setelah peristiwa itu Zulaikha bertaubat kepada Allah swt. Ketika Yusuf diutus menjadi Rasul dan menjadi penguasa menggantikan Al-Aziz, Nabi Yusuf berjumpa dengan Zulaikha yang ketika itu keadaannya sudah tua. Akhirnya Allah menjadikan Zulaikha muda remaja dan berkahwin dengan Nabi Yusuf. Maka jadilah Zulaikha sebagai seorang wanita yang solehah yang sentiasa beramal kepada Allah swt. (Kisah Zulaikha ini dapta dibaca dalam Al-Quran surah Yusuf ayat 21-53).

Dipetik dari laman web Darul Nu'man